Tuesday, September 8, 2009

'Clijsters menakjubkan'




NEW YORK: Kim Clijsters menandakan kepulangan menakjubkannya ke kejohanan tenis grand slam Terbuka Amerika Syarikat dengan menyingkirkan Venus Williams, manakala adiknya, Serena menampung kekecewaan kakaknya dengan meneruskan kemaraan di New York.

Jumlah penonton yang membanjiri Pusat Tenis Nasional dengan tepat dapat menghidu bahawa hari ketujuh kejohanan grand slam terakhir bakal istimewa.

Penampilan menakjubkan Clijsters selepas dua tahun bersara, menyaksikan lebih 23,000 penonton di Stadium Arthur Ashe bersorak ke atas setiap pergerakannya.


Dia berjaya mengekang asakan Venus untuk melakarkan kemenangan 6-0, 0-6, 6-4 dalam pertarungan menarik satu jam 42 minit.


“Ia sukar dipercayai,” kata pemain Belgium itu yang meninggalkan permainan itu untuk memulakan kehidupan berkeluarga. “Saya tidak tahu nak kata apa. Ia perlawanan yang sungguh aneh.

“Selepas saya kalah set kedua 6-0 saya berkata baiklah, bermula semula dan bertarung untuk setiap mata,” katanya, yang akan berdepan Li Na selepas pemain veteran China itu mengalahkan Francesca Schiavone dari Itali, 6-2, 6-3.

Memenangi perlawanan di gelanggang stadium utama terbuka ini menyuntik semangat kepada Clijsters, 26, yang memenangi kejuaraan itu pada 2005.

“Ia masih sukar dipercayai,” katanya. “Tetapi, saya tidak akan terbawa-bawa dengan semuanya. Hanya mahu menumpukan ke atas apa yang saya sudah lakukan kerana kejohanan ini masih berterusan.”

Memandangkan Clijsters kembali beraksi baru seminggu, pemain Belgium itu tidak mempunyai ranking dunia.

Dengan kakaknya, Venus, 29, disingkirkan daripada kejohanan itu, pilihan kedua, Serena meneruskan aksi keluarganya dengan kemenangan mudah 6-2, 6-0 ke atas Daniela Hantuchova dari Slovakia.

No comments:

Post a Comment